HARBIN, 18 Mei (Bernama-CMG) -- Bandar Harbin, ibu kota provinsi Heilongjiang China menerima kedatangan ramai pedagang dari Rusia sejak beberapa hari lalu, sempena pembukaan Ekspo China-Rusia ke-10 pada Ahad.
Untuk memastikan kelancaran kemasukan pengembara antarabangsa, stesen pemeriksaan imigresen Harbin mula menawarkan perkhidmatan pelepasan 24 jam sehari, selain membuka lorong khas untuk peserta Ekspo China-Rusia.
Difahamkan, pedagang dapat menyelesaikan semua prosedur pelepasan dalam tempoh kurang 10 minit.
Menurut statistik Stesen Am Pemeriksaan Sempadan Heilongjiang, kira-kira 655,000 pelancong Rusia keluar masuk provinsi Heilongjiang sejak China menguatkuasakan dasar pengecualian visa kepada pengembara dari Rusia, bermula 15 September 2025. Jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 69.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 311,000 pelancong Rusia memasuki China dengan memanfaatkan dasar bebas visa berkenaan, iaitu lonjakan sebanyak 229.2 peratus.
Lonjakan kemasukan pelancong antarabangsa itu bukan sahaja merancakkan sektor budaya dan pelancongan, malah turut memacu pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.
-- BERNAMA-CMG