KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kejujuran dan keyakinan menjadi pendorong utama di sebalik peningkatan ketara prestasi pemain perseorangan wanita nombor satu negara, K. Letshanaa.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata persekitaran dalam pasukan memainkan peranan penting yang mencungkil potensi pemain ranking ke-32 dunia itu, selain dirinya yang semakin menunjukkan kematangan.
“Saya beranggapan ia hanya tentang kami, tetapi sebenarnya tidak. Kami juga telah menyediakan persekitaran yang membuatkan pemain percaya kepada apa yang kami lakukan dan kami percaya kepada mereka. Jadi, kami saling percaya antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Malaysia Masters 2026.
Jonassen berkata kematangan serta keterbukaan untuk berbincang mengenai perkara sukar turut menjadi elemen penting dalam transformasi yang ditunjukkan oleh Letshanaa.
“Sudah tentu saya faham situasi apabila tewas. Seboleh-bolehnya kita cuba untuk tidak terlalu berkeras, namun tetap perlu berbincang secara jujur tentang apa yang sebenarnya berlaku daripada sudut emosi.
“Adakah dia melepaskan peluang? Adakah kerana gugup? Adakah dia terlalu tertekan? Saya sendiri pernah menjadi pemain, saya tahu banyak perkara bermain dalam fikiran. Jadi saya cuba untuk kekal jujur dengan pemain dan saya cuba membantu jurulatih melaksana tugasan harian yang sememangnya mencabar bersama pemain
Semalam, Letshanaa, 22, yang sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang tersingkir pada peringkat suku akhir Malaysia Masters 2026 selepas tewas kepada pemain Jepun, Hina Akechi 21-19, 12-21, 10-21 di Arena Unifi, Bukit Jalil.
Bagaimanapun, Letshanaa masih boleh berbangga selepas mencatat kemenangan mengejut ke atas pemain ranking kesembilan dunia, Tomoka Miyazaki 21-15, 21-17 pada pusingan kedua, iaitu kemenangan pertamanya ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Sementara itu, Jonassen mengingatkan bahawa peningkatan prestasi perlu dikendalikan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sasaran yang tidak realistik.
Beliau berkata kemajuan dalam badminton elit harus melalui proses langkah demi langkah, bukan sekadar reaksi jangka pendek terhadap keputusan tertentu.”
Jonassen juga berpendapat bahawa prestasi cemerlang Letshanaa, khususnya kemenangan ke atas pemain ranking 10 terbaik, telah mengukuhkan keyakinan bahawa beliau mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Mengulas kekalahan pada suku akhir itu, jurulatih dari Denmark berkenaan berkata Letshanaa memulakan permainan dengan baik sebelum lawannya berjaya mengubah rentak perlawanan.
Beliau percaya perlawanan itu memberikan banyak pengajaran serta perkara positif yang boleh membantu perkembangan berterusan pemain itu.
Kegagalan Letshanaa itu juga menyaksikan penantian Malaysia untuk melahirkan pemain perseorangan wanita untuk mara ke pusingan empat terbaik di Malaysia Masters masih tidak kesampaian.
Kali terakhir atlet negara mara ke kelompok empat terbaik ialah pemain profesional, Goh Jin Wei, yang tewas kepada juara edisi itu, Ratchanok Intanon dari Thailand 16-21, 16-21 pada edisi 2019.
Malaysia Masters 2026 yang juga kejohanan Super 500 berlangsung hingga esok dan menawarkan jumlah keseluruhan wang hadiah sebanyak USD500,000 (RM1.98 juta).
-- BERNAMA