SUKAN

Malaysia Masters: Tang Jie-Ee Wei Kempunan Ke Separuh Akhir

22/05/2026 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mempamerkan aksi cemerlang ketika tersingkir pada suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena di sini hari ini.

Ee Wei berkata keputusan itu menyebabkan mereka kempunan untuk mara ke separuh akhir pada kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

“Kami tak keluarkan corak permainan kami. Saya rasa 20 peratus pun tak sampai tahap permainan kami yang sebenar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Tang Jie berkata selepas ini mereka akan berbincang bagi mencari solusi yang terbaik untuk aksi seterusnya pada Terbuka Singapura, terutama melibatkan aspek serangan.

Terdahulu, pasangan nombor empat dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 18-21,16-21 kepada pasangan pilihan kelapan dari China Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin (CHN) dalam tempoh 44 minit.

Keputusan itu menyaksikan tiada wakil negara dalam acara berkenaan beraksi pada separuh akhir Malaysia Masters 2026.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560453