AM

Rakyat Digalak Muat Turun, Daftar Aplikasi MyNIISe - Saifuddin Nasution

23/05/2026 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia digalakkan memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dan melengkapkan pendaftaran masing-masing bagi memanfaatkan kemudahan perkhidmatan digital imigresen yang lebih lancar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aplikasi itu diperkenalkan bagi membolehkan pelbagai proses penting dilakukan terus melalui telefon pintar tanpa perlu melalui prosedur yang rumit.

“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri terus komited memperkukuh perkhidmatan digital demi memudahkan urusan rakyat.

“Aplikasi MyNIISe diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan dan urusan imigresen yang lebih lancar, cepat serta mesra pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata aplikasi itu menawarkan perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan selamat, selain menjimatkan masa serta tenaga pengguna.

“Ini bukan sekadar aplikasi tetapi langkah ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih moden, efisien dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, pendaftaran MyNIISe boleh dibuat dengan membuka aplikasi tersebut dan mendaftar menerusi MyDigital ID, sebelum memilih "Mula cipta profil" dan mengimbas halaman foto pasport.

Pengguna kemudian perlu menyemak maklumat serta mengesahkannya, mengambil gambar swafoto untuk pengesahan dan mencipta kata laluan akaun.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560501