JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Sarawak Gempur Tapak Pembinaan, 39 Warga Asing Ditahan

21/05/2026 10:14 PM

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 39 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan di beberapa tapak pembinaan dan rumah kongsi sekitar bandar raya berkenaan semalam dan hari ini.

JIM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan individu yang ditahan berumur antara 18 hingga 56 tahun.

“Antara lokasi yang diserbu termasuk tapak pembinaan apartmen di Pending, projek perumahan di Bintawa serta rumah kongsi di kawasan perindustrian Demak Laut.

“Pemeriksaan mendapati sebahagian warga asing yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, antaranya tinggal lebih masa, bekerja tanpa pas atau permit kerja sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

JIM Sarawak memaklumkan kesemua yang ditahan telah dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching untuk tindakan lanjut dan siasatan terperinci.

“Dalam operasi sama, dua majikan turut dipanggil ke pejabat bagi membantu siasatan dan memberi keterangan berkaitan penggajian warga asing di premis terlibat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560062