JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Pulau Pinang Tahan VNT Langgar Syarat Sah Lesen

22/05/2026 07:09 PM

GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B1 selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada jarak kurang lapan batu nautika, awal hari ini.

Pengarahnya Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan dilakukan pada 1.35 pagi susulan aduan orang awam melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan bot tersebut dipercayai beroperasi terlalu hampir dengan kawasan pesisir pantai.

"Bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika utara Pulau Rimau dan didapati tidak mematuhi had minimum lapan batu nautika yang ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak empat kru terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin tetap yang berada di atas bot itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Kesemua nilai rampasan termasuk bot, katanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560405