KANGAR, 21 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) selepas dipercayai menjalankan urus niaga barang kawalan, iaitu tepung gandum tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis dekat sini, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Rohaida Hassan berkata lelaki itu ditahan kira-kira 3 petang dalam operasi disertai empat pegawai penguat kuasa KPDN negeri dan tiga pegawai Pasukan Polis Marin Wilayah Utara.
Rohaida berkata serbuan hasil risikan selama dua minggu itu menemukan 129 kotak berisi 1,290 kilogram tepung gandum yang dianggarkan bernilai RM2,902.50 di premis tersebut.
“Lelaki itu ditahan kerana dipercayai berurus niaga barang kawalan tanpa lesen atau surat kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Rohaida berkata KPDN Perlis komited dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang kawalan bagi memastikan bekalan untuk rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang akan merugikan negara.
“KPDN Perlis memberikan amaran keras dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.
-- BERNAMA