IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman tiga individu terdiri daripada seorang pengarah, pegawai eksekutif dan pemilik syarikat selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan melibatkan tuntutan rawatan kesihatan kira-kira RM53,000.
Menurut sumber, perintah reman selama tujuh hari sehingga 26 Mei 2026 terhadap suspek yang juga pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu telah dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh pagi semalam.
“… manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga seorang pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an telah direman selama lima hari sehingga 24 Mei 2026.
“Ketiga-tiga suspek ditahan antara 4.50 petang dan 9.30 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2024 hingga 2025.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi menuntut perbelanjaan rawatan pemulihan fizikal, bagaimanapun rawatan itu tidak dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA