KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Seminar Poligraf Malaysia: Peranan Poligraf Dalam Saringan Pekerjaan, di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini semalam.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penganjuran seminar itu bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai peranan dan potensi teknologi itu sebagai instrumen sokongan dalam proses saringan pekerjaan, pengurusan integriti organisasi serta pengendalian siasatan yang melibatkan aspek keselamatan dan tadbir urus.
“Antara penceramah terlibat ialah ASP Ahmad Shahrulazmi Mazni dari Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Mohammad Firdaus Ashaari dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Penyelaras Pasukan Poligraf SPRM Norhakimin Brahim dan Dr Salwa Zolkaful dari Universiti Teknologi MARA (UiTM),” menurut kenyataan itu.
Seminar itu disertai 60 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Turut menyertai seminar itu ialah peserta daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, UiTM, Tenaga Nasional Berhad dan XSpec Technology.
Menurut kenyataan itu, Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas MACA Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan dalam ucapan perasmiannya berkata seminar itu merupakan agenda penting dalam usaha memperkasakan pengetahuan, serta amalan terbaik dalam bidang berkenaan pada peringkat nasional.
Beliau berkata perkongsian kepakaran dan pengalaman rentas agensi perlu diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam usaha memerangi jenayah, salah laku serta isu berkaitan integriti.
Mohd Saud turut berharap seminar seumpama itu dapat diteruskan secara berkala dalam skala lebih besar menerusi pelaksanaan penyelidikan, kolokium dan seminar ilmiah bagi memperkukuh pembangunan kepakaran serta mengoptimumkan potensi penggunaan teknologi poligraf di Malaysia.
-- BERNAMA