SUKAN

JBS Kedah Cari Atlet OKU Baharu Menerusi INSPIRE i-Talent

13/05/2026 02:54 PM

ALOR SETAR, 13 Mei (Bernama) -- Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) Kedah sedang mencari bakat baharu dalam kalangan komuniti sukan para untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk sebagai pelapis atlet paralimpik negara, menerusi program INSPIRE  i-Talent 2026.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah Azura Sarbin berkata program yang akan berlangsung di seluruh daerah di negeri ini bermula 14 Mei hingga 16 Jun itu juga merupakan komitmen berterusan JBS Kedah bagi memperkasa pembangunan sukan orang kurang upaya (OKU).

"Program INSPIRE i-Talent merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuhkan pembangunan sukan akar umbi OKU serta menjadi platform pencarian bakat baharu dalam kalangan komuniti sukan para.

"Pelaksanaan program ini juga selaras dengan hasrat KBS dalam membudayakan 'Sukan Untuk Semua' melalui usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan golongan OKU turut diberi peluang menyertai pembangunan sukan secara inklusif," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata program itu juga memfokuskan kepada usaha mengenal pasti bakat asas sukan dalam kalangan OKU selain menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam aktiviti sukan dan rekreasi. 

"Program ini turut berperanan sebagai jambatan penghubung kepada bakat yang dikenal pasti di peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat prestasi tinggi," katanya.

Azura berkata INSPIRE i-Talent 2026 juga bertujuan untuk menyuntik semangat serta keyakinan diri golongan OKU agar lebih berani melibatkan diri dalam sukan kompetitif dan kejohanan pada masa hadapan.

Pelaksanaan program di Kedah melibatkan 12 daerah iaitu di Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang pada 14 Mei; Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah Alor Setar (19 Mei); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar, Kulim (20 Mei); KSK Bandar Baharu (20 Mei); SMK Kedawang, Langkawi (6 Jun), KRM Baling (6 Jun).

Selain itu program tersebut juga diadakan di KSK Jerlun, Kubang Pasu pada 10 Jun; SMK Naka, Padang Terap (10 Jun); SMK Batu 8, Sik (11 Jun), Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri Sungai Petani (11 Jun); SMK Pokok Sena 2 (14 Jun) dan SMK Dulang, Yan (16 Jun).

Azura berkata JBS Kedah berharap program tersebut mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam kalangan atlet para negeri seterusnya memperkukuh pembangunan sukan OKU di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Program INSPIRE i-Talent 2026 turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan golongan OKU tidak ketinggalan dalam agenda pembangunan belia dan sukan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556390