KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kabinet dijangka membincangkan laporan berkaitan dakwaan permohonan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, untuk mendapatkan pengampunan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada mesyuarat minggu depan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan hanya dibangkitkan ketika mesyuarat Kabinet berlangsung hari ini dan justeru itu, ia tidak dibincangkan secara rasmi.
"... tetapi sudah pasti akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri pada minggu hadapan,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri di sini.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung laporan mendakwa Jho Low telah memohon pengampunan daripada Presiden Donald Trump, dan sama ada kerajaan bercadang mengemukakan bantahan rasmi terhadap langkah tersebut kepada pihak berkuasa AS.
Ditanya sama ada Kerajaan Malaysia telah menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa AS berhubung permohonan itu, beliau berkata perkara tersebut tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini.
“Saya ingin meminta pihak media supaya merujuk perkara ini kepada Menteri Dalam Negeri atau Menteri Luar,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan bahawa Jho Low, yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan daripada Trump beberapa minggu lepas.
Menurut laporan itu, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.
Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan yang dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai pending (belum selesai) bagi Pardon after Completion of Sentence (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).
Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018 namun sehingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.
-- BERNAMA