AM

Ancaman Keselamatan Moden Tuntut Kerjasama Strategik Pelbagai Pihak

13/05/2026 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Ancaman keselamatan moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks menuntut kerjasama strategik pelbagai pihak bagi menangani perkara itu dengan berkesan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia yang mencecah RM2.7 bilion pada tahun lepas menunjukkan cabaran keselamatan semasa tidak boleh ditangani oleh hanya agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata kejayaan Ops Hazard 3.0 yang membongkar lebih 110 lokasi e-waste haram turut membuktikan evolusi ancaman itu yang semakin sofistikated dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.

“Tema Synergized Policing: Securing the Future Together yang diketengahkan pada program hari ini amat bertepatan dengan realiti keselamatan global masa kini.

“Kita telah memperluas fokus perbincangan merangkumi ancaman keselamatan moden yang sangat membimbangkan seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik serta isu kelestarian alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue V 2026 di sini hari ini. 

Program dua hari bermula semalam, merangkumi 31 sesi pengisian antaranya perbincangan panel dan bengkel teknikal melibatkan pemain industri, agensi penguatkuasaan, pakar teknologi dan penggubal dasar.

Mohd Khalid  berkata antara topik utama dibincangkan termasuk evolusi teknik manipulasi psikologi dalam jenayah siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan sempadan dan strategi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah melalui risikan kewangan.

Beliau berkata pemeteraian memorandum perjanjian antara Universiti Sains Malaysia dan PDRM dalam bidang sains forensik menjadi satu lagi pencapaian penting dalam penganjuran program kali ini.

“Menerusi perjanjian ini, USM menawarkan tiga tempat bagi program Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah dalam bidang sains forensik serta dua tempat dalam bidang sains sosial, pengurusan atau komunikasi dengan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya.

“Kolaborasi strategik yang terjalin sejak 2016 ini manifestasi komitmen kita dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik PDRM menerusi perkongsian kepakaran, latihan profesional dan penyelidikan strategik,” katanya.

Mohd Khalid berkata semua input dan teknologi yang dikongsikan sepanjang dialog itu akan menjadi pemangkin kepada penganjuran Asia International Security Summit and Expo 2027 yang dijadualkan pada awal tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556552