PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Pelabur Kekal Berhati-hati

13/05/2026 06:42 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, apabila sentimen pelabur kekal berhati-hati susulan aktiviti dagangan yang suram, dengan peserta pasaran terus menilai persekitaran makroekonomi dan geopolitik secara keseluruhan.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.25 mata atau 0.24 peratus kepada 1,746.31 daripada 1,750.56 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras yang dibuka 0.10 mata lebih kukuh kepada 1,750.66 itu bergerak antara 1,742.41 hingga 1,752.64 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 611 berbanding 577, manakala 555 kaunter tidak berubah, 932 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.14 bilion unit bernilai RM3.44 bilion daripada 4.92 bilion unit bernilai RM3.59 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur mengambil pendekatan positif namun berhati-hati menjelang pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di China.

Beliau berkata antara topik utama yang dijangka dibincangkan termasuk tarif dan kecerdasan buatan.

“Di peringkat domestik, hala tuju pasaran kekal tidak menentu ekoran turun naik yang lebih ketara dan perkembangan luaran pula bercampur-campur,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata penurunan FBM KLCI di bawah paras 1,750 mata tidak seharusnya ditafsirkan sebagai isyarat kelemahan struktur, terutama selepas prestasi kukuh pasaran sepanjang April dan minggu lepas.

“Sebaliknya, penyusutan terkini itu dilihat lebih konsisten dengan aktiviti pengambilan untung jangka masa pendek susulan kenaikan kukuh pasaran yang berterusan baru-baru ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing turun enam sen kepada RM11.18 dan RM14.72, IHH Healthcare susut empat sen kepada RM8.99, manakala Public Bank naik empat sen kepada RM4.88 dan CIMB menokok dua sen kepada RM7.92.

Antara saham paling aktif, GIIB menambah 6.5 sen kepada 27 sen, WCT naik 3.5 sen kepada 51.5 sen dan UEM Sunrise meningkat tiga sen kepada 66.5 sen manakala Astro dan SMRT masing-masing turun setengah sen kepada 5.5 sen dan 27 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.54 kepada RM43.80, UMS Integration meningkat 80 sen kepada RM8.80, Petronas Dagangan menambah 78 sen kepada RM21.10, Vitrox menokok 27 sen kepada RM6.29 dan UWC naik 24 sen kepada RM5.97.

Antara kaunter paling rugi, Fraser & Neave merosot 74 sen kepada RM29.16, Hong Leong Industries susut 40 sen kepada RM18.90, manakala Allianz dan United Plantations masing-masing menguncup 18 sen kepada RM21.12 dan RM30.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.13 mata kepada 12,936.24, Indeks FBMT 100 kurang 20.47 mata kepada 12,774.20 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 6.25 mata kepada 12,868.05.

Indeks FBM ACE meningkat 23.91 mata kepada 4,752.19 manakala Indeks FBM Mid 70 menokok 15.73 mata kepada 18,548.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.75 mata kepada 20,302.05, Indeks Perladangan susut 78.81 mata kepada 8,719.25 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.06 mata kepada 199.73 dan Indeks Tenaga menguncup 1.88 mata kepada 805.94.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.32 bilion unit bernilai RM3.07 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM3.03 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.18 bilion unit bernilai RM152.42 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM148.0 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 638.74 juta unit bernilai RM217.64 juta berbanding 1.05 bilion unit bernilai RM412.60 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 261.59 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (502.48 juta), pembinaan (342.55 juta), teknologi (392.03 juta), perkhidmatan kewangan (55.95 juta), hartanah (284.60 juta), perladangan (28.91 juta), amanah pelaburan hartanah (15.28 juta), dana tertutup (26,600), tenaga (80.44 juta), penjagaan kesihatan (119.58 juta), telekomunikasi dan media (125.97 juta), pengangkutan dan logistik (64.32 juta), utiliti (47.78 juta) dan amanah perniagaan (69,300).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556557