JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rampas Bahagian Hidupan Liar Dilindungi Lebih RM5 Juta Dalam Serbuan Di Kedai Antik

13/05/2026 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Polis merampas pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.3 juta dalam serbuan di sebuah premis antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata  dalam serbuan 9.45 pagi itu, pihaknya menahan suspek berusia 53 tahun yang juga pemilik premis terbabit.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 16 batang gigi taring disyaki daripada spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki spesies harimau, 10 batang gigi disyaki spesies beruang, 13 biji batu landak, 394 keping sarang burung disyaki spesies burung walet seberat 2,243 gram.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku membeli sarang burung walet dan batu landak daripada pembekal di Lintas, Sabah tanpa lesen atau permit sah.

“Bahagian hidupan liar dilindungi itu pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga rendah sebelum dijual untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata kesemua barangan tersebut disimpan tanpa permit daripada pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.32 juta.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata dalam serbuan Ops Taring Bravo 1 di Jalan Labuk, Sandakan pada 3 petang tadi, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pemindahan diesel bersubsidi secara haram.

Katanya pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen atau permit yang sah untuk penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi.

Beliau berkata sebanyak 10,200 liter diesel bersubsidi, sebuah lori tangki, lapan tong dram, satu unit pam elektrik dan dua buah tangki berkapasiti 12,000 liter dirampas dengan anggaran keseluruhan bernilai RM158,330.

“Tangkapan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Mohd Zaki berkata PDRM akan terus memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dibanteras sepanjang masa dan memastikan setiap syarikat yang berlesen mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556556