SEGAMAT, 13 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM11,070 diperuntukkan bagi menyokong pembangunan sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Paya, di sini dalam usaha memenuhi keperluan peralatan sukan dan kemudahan program di sekolah itu.
Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran berkata antara peralatan sukan yang bakal diterima sekolah berkenaan ialah set lompat tinggi, hurdle, kanopi putih, kasut spike dan walkie-talkie, yang akan memberikan manfaat kepada murid di sekolah itu.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu pihak sekolah memperkukuh lagi aktiviti sukan serta melahirkan lebih ramai murid yang aktif, sihat dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook Pejabat Ahli Parlimen Segamat, hari ini.
Terdahulu, Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara turut memuji pendekatan kreatif yang diambil pihak SK Kuala Paya dalam kejohanan sukan tahunan sekolah berkenaan, dengan setiap rumah sukan membawa tema mengikut jenama syarikat tertentu.
“Sukan tahunan seperti ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi ruang membina keyakinan diri, disiplin, kerjasama berpasukan dan semangat perpaduan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.
-- BERNAMA