SUKAN

Jitra Half Marathon Edisi Keempat Kembali September Ini

13/05/2026 12:05 PM

ALOR SETAR, 13 Mei (Bernama) -- Jitra Half Marathon (JHM) 2026 anjuran Bina Darulaman Bhd (BDB) edisi keempat kembali menghangatkan arena sukan larian di wilayah utara pada 19 Sept di Darulaman Park, Jitra. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata JHM 2026 kembali mewarnai kalendar acara BDB Leisure Sdn Bhd selepas kali terakhir dianjurkan pada 2023, sebelum edisi 2024 terpaksa dibatalkan berikutan banjir yang melanda Kedah.

“JHM 2026 menyasarkan 2,200 penyertaan dari dalam dan luar negara yang dibahagikan kepada tiga kategori utama larian, iaitu 21 kilometer (km), 10 km dan 5 km.

“JHM 2026 tampil dengan lebih bergaya dan meyakinkan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai serta barangan cabutan bertuah kepada peserta,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya berharap orang ramai termasuk dari seluruh negara dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam penganjuran JHM tahun ini.

“JHM kali pertama dianjurkan pada 2022 dengan penyertaan sebanyak 1,200 peserta dan jumlah itu meningkat kepada 1,500 peserta tahun berikutnya.

“Orang ramai disaran merebut peluang pendaftaran awal menerusi tawaran early bird sehingga 31 Mei dengan kadar yuran RM80 bagi kategori 21 km, RM65 (10 km) dan RM50 bagi kategori 5 km Fun Run,” katanya.

Che Abdul Khalid berkata bagi pendaftaran dari 1 Jun sehingga 31 Julai, yuran penyertaan ditetapkan pada kadar RM95 (21 km), RM85 (10 km) dan RM65 (5 km).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556301