KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) – Peranan wartawan sukan disifatkan semakin penting menjelang penganjuran temasya besar termasuk Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kerjasama rapat antara media dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan perkembangan sukan negara dapat disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat.
Beliau berkata wartawan sukan memikul tanggungjawab besar dalam menyalurkan maklumat terkini berkaitan arena sukan negara, khususnya menjelang temasya antarabangsa serta penganjuran Sukan SEA 2027.
“Khususnya ketika kita menghadapi temasya sukan akan datang, bukan sahaja di luar negara tetapi juga temasya yang dianjurkan Malaysia sebagai tuan rumah iaitu Sukan SEA 2027,” katanya pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata KBS akan terus bekerjasama dengan wartawan sukan bagi membincangkan keperluan berkaitan pembangunan sukan negara.
-- BERNAMA