AM

Kerajaan Sabah Tangguh Pelaksanaan AKPS - Hajiji

13/05/2026 08:40 PM

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar serta pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860] sehingga memperoleh jaminan bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri dan pihak berkuasa Sabah.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan penubuhan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen bagi kedua-dua negeri berkenaan.

“Justeru, ia menjamin perlindungan kedudukan Sabah dari segi Perlembagaan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Sabah menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri negeri telah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah dan mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa serta hak istimewa imigresen negeri melalui aspek perundangan dan pengoperasian imigresen.

“Pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah di pintu masuk negeri, manakala pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap AKPS, sebaliknya hanya melalui Pengarah Imigresen Sabah seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta 860.

“Selain itu, kerajaan Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556591