SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengesan empat kes disyaki wabak leptospirosis atau kencing tikus di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Dalam satu kenyataan, JKNNS memaklumkan berdasarkan laporan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah seorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Kesemua kes mempunyai gejala demam, sakit kepala, dan sakit otot serta mempunyai sejarah mengunjungi serta menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi tersebut.
"Sampel klinikal daripada kes ini diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis. Penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi berkenaan mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit tersebut," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonosis, iaitu penyakit boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia disebabkan oleh bakteria Leptospira.
Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar seperti air, tanah, atau makanan, termasuk melalui pengambilan bahan tercemar tersebut.
Susulan itu, JKNNS memaklumkan sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi tersebut ditutup sementara oleh agensi berkaitan bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan.
Agensi itu turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada mengunjungi kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan berikutan risiko jangkitan leptospirosis dan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran serta tidak membuang sampah merata-rata.
“Orang ramai juga diingatkan tidak berenang atau bermain air sekiranya mempunyai luka serta memastikan luka ditutup dengan pembalut kalis air dan mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan menggunakan air bersih dengan sabun dan mengelakkan daripada minum atau menggunakan air sungai serta air yang tidak dimasak,” menurut kenyataan itu.
Semalam media melaporkan, Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah ditutup sementara hingga 24 Mei ini bagi semua aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat kes disyaki leptospirosis atau kencing tikus di kawasan itu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy Md Yusop berkata penutupan sementara itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung.
-- BERNAMA