SUKAN

Pahang Mammoth Buru Kebangkitan, Sasar Kembali Ke STL Premier

12/05/2026 08:32 PM

SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP) memasang misi besar untuk membawa semula Pahang Mammoth ke pentas Liga Sepak Takraw (STL) Premier apabila memperkenalkan tujuh pemain baharu bagi menghadapi saingan STL Divisyen 1 musim 2026.

Presiden PSTNP Datuk Abu Jimi Samat berkata skuad yang dibentuk kali ini disasarkan untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu bagi bersaing di peringkat tertinggi selepas kali terakhir dikecapi pada 2020.

Antara pemain yang diperkenalkan ialah Muhammad Hairul Hazizi Haidir yang pernah meraih pingat gangsa bersama skuad negara dalam acara chinlone pada Sukan SEA 2025 serta pemain import Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha di posisi tekong.

Turut menyertai Pahang Mammoth ialah bekas tonggak Selangor yang membantu pasukan itu menjuarai Piala Khir Johari 2026, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin di posisi apit kanan, manakala Norfaizzul Abd Razak mengisi posisi apit kiri.

“Sepanjang beberapa tahun saya menjadi presiden, saya rasa kali ini Pahang berjaya membentuk satu pasukan yang benar-benar matang.

“Dengan pemilihan pemain dan pelaburan besar yang dibuat, saya yakin inilah antara pasukan negeri terkuat pernah dihimpunkan,” katanya pada sidang media pengenalan pemain Pahang Mammoth di sini hari ini.

Abu Jimi berkata PSTNP turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan pemain muda menerusi kemasukan dua pemain SUKMA Pahang sebagai sebahagian daripada projek pembangunan jangka panjang pasukan itu.

Beliau berkata pemain berkenaan ialah Mohamad Alif Najmi Mazaidan di posisi apit kanan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman selaku apit kiri.

Semua pemain yang diperkenalkan menerima kontrak hingga hujung tahun ini bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan dan persiapan menghadapi musim baharu.

Abu Jimi berkata PSTNP juga sedang berusaha mendapatkan beberapa lagi pemain termasuk tekong dari Thailand bagi memperkukuhkan pasukan menjelang saingan musim baharu.

Saingan STL Divisyen 1 dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 Okt depan.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556165