Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Dalam suasana umat Islam menjalani ibadah puasa Ramadan, pelbagai tip dikongsi di media sosial bagi membantu tubuh kekal bertenaga dan terhidrasi, khususnya ketika cuaca panas.
Tip-tip yang semakin mendapat perhatian orang ramai termasuk penggunaan garam Celtic, sama ada diletakkan di bawah lidah atau dicampurkan dengan air ketika bersahur, yang dipercayai mampu membantu tubuh kekal terhidrat lebih lama.
Namun, sejauh mana dakwaan bahawa jenis garam laut yang dikatakan mempunyai kandungan mineral lebih tinggi berbanding garam biasa itu benar-benar berkesan mengurangkan rasa dahaga hingga waktu berbuka?
pic-2
Menurut Pegawai Dietetik Siti Noor Ain Abu Thalib, perbezaan mineral dalam garam Celtic dengan garam biasa adalah sangat sedikit dan tidak signifikan secara klinikal. Justeru kepercayaan tentang keberkesanan garam Celtic tersebut lebih kepada kesan plasebo, iaitu keadaan apabila individu berasakan sesuatu itu berkesan kerana dia mempercayainya.
Kata beliau pengambilan garam secara berlebihan sebenarnya berisiko menyebabkan badan lebih mudah berasa haus kerana paras sodium yang tinggi dalam darah akan merangsang keperluan tubuh terhadap air.
“Pengambilan garam ini boleh menyebabkan individu rasa lebih haus, bukan mengurangkan (dahaga), kerana sodium di dalam darah meningkat. Dakwaan kurangkan haus itu mungkin berlaku kerana individu cenderung minum air lebih banyak daripada kebiasaan apabila mencuba garam tersebut.
“Jadi, faktor sebenar yang membantu tubuh bertahan lebih lama ialah peningkatan pengambilan air, bukannya garam itu sendiri. Bila air diminum lebih banyak, badan menjadi lebih terhidrat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
pic-3
Beliau yang berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, berkata pengambilan garam berlebihan turut meningkatkan risiko tekanan darah tinggi serta memberi kesan kepada individu yang mempunyai penyakit buah pinggang, jantung, hati dan hipertensi.
“Apabila sel badan mengalami dehidrasi teruk, keadaan itu berupaya meningkatkan tekanan darah. Individu yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi perlu lebih berhati-hati. Ada juga yang tidak menyedari mereka menghidap tekanan darah tinggi sehingga keadaan menjadi serius dan berisiko menyebabkan strok,” katanya.
Siti Noor Ain berkata menurut Garis Panduan Diet Malaysia, pengambilan garam yang disarankan bagi orang dewasa ialah kira-kira satu sudu teh atau 2,000 miligram (mg) natrium sehari, termasuk kandungan garam yang sudah terdapat dalam makanan harian.
pic-4
Sementara itu, Pegawai Dietetik di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Jazlina Syahrul berkata fungsi utama natrium, atau sodium, dalam badan adalah untuk menarik air ke dalam sel serta mengawal keseimbangan bendalir tubuh.
Bagaimanapun katanya badan manusia tidak membezakan sama ada natrium itu datang daripada jenis garam tertentu kerana keupayaan tubuh menahan bendalir merupakan tindak balas biologi biasa terhadap sebarang sumber natrium.
“Secara biologi, elektrolit seperti natrium (sodium) dan kalium (potassium) memainkan peranan penting dalam mengawal keseimbangan bendalir di dalam dan di sekeliling sel badan. Semasa tempoh berpuasa, iaitu pengambilan air dan makanan dihadkan, interaksi elektrolit ini sangat mempengaruhi tahap hidrasi serta rasa haus.
“Tubuh kita secara semula jadi hanya memerlukan kuantiti natrium yang kecil untuk mengekalkan keseimbangan air. Jadi, penggunaan mana-mana jenis garam dalam kuantiti yang sedikit masih dibenarkan,” katanya.
-- BERNAMA