JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Ekori Komander AKPS Selama Sebulan - Polis

03/03/2026 03:47 PM

SUNGAI PETANI, 3 Mac (Bernama) -- Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada 28 Feb lepas bagi membantu siasatan kes tembak kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, dipercayai mengekori mangsa sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata suspek yang juga lelaki tempatan disyaki mengekori SAC Mohd Nasaruddin M Nasir ketika mangsa bergerak ke masjid dan pejabat pada awal pagi, sebelum insiden tembakan pada 25 Feb lepas.

“Lelaki terbabit antara tiga suspek berusia 44 hingga 58 tahun yang ditahan di sekitar lokasi kejadian (Bukit Kayu Hitam).

“Suspek disyaki mengekori mangsa kira-kira sebulan awal semasa mangsa ke masjid dan pejabat pada awal pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan masih berterusan, menunjukkan perkembangan positif dan setiap maklumat yang diperoleh berhubung kejadian akan dilakukan siasatan terperinci.

“Daripada 10 suspek (termasuk seorang wanita Thailand) yang ditahan sejak hari kejadian, seorang suspek lelaki telah dibebaskan dengan jaminan polis dua hari lepas.

“Siasatan terhadap sembilan lagi suspek masih dijalankan dan setakat ini tiada pengakuan tentang penglibatan dalam kes itu, namun kebanyakannya mengakui terlibat dalam kegiatan penyeludupan di sempadan termasuk beras, karkas babi dan diesel, yang dibuat secara agresif serta dalam jumlah besar,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menafikan penglibatan sebahagian daripada suspek yang ditahan, dengan kumpulan penjenayah Geng Pak Su.

“Buat masa ini, saya kata memang ada kaitan tetapi saya tidak boleh dedahkan dahulu tahap mana keterlibatan dengan kes (tembakan) ini. Cuma saya kata memang ada kaitan, sebab itu kami perlu selidik dan siasat lanjut,” katanya.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembak kenderaan dipandu Mohd Nasaruddin pada 5.40 pagi, 25 Feb lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529884