AM

Kekuatan Institusi Teras Penyelesaian Perubahan Iklim Berkesan - Abang Johari

03/03/2026 03:35 PM

KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- Kekuatan sebuah institusi amat penting bagi memastikan penyelesaian perubahan iklim dilaksanakan secara berkesan dan mampan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penetapan sasaran semata-mata tidak mencukupi kerana cita-cita tanpa hala tuju institusi yang jelas boleh membawa kepada perpecahan.

“Tindakan terhadap perubahan iklim hanya berkesan apabila institusi dilengkapi keupayaan untuk menyatukan pelbagai aspek, menyelaras sektor, menyeleras merentasi peringkat kerajaan dan memadankan perancangan dengan pembiayaan. Mereka mesti beroperasi dengan mandat jelas dan kuasa undang-undang.

“Mereka mesti memantau kemajuan secara telus… dan mereka mesti mampu mengurus risiko fiskal dan alam sekitar dalam landskap iklim yang semakin tidak menentu,” katanya ketika berucap pada pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Peringkat Subnasional (CCIA) 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Sarawak mempunyai kuasa ketara terhadap tanah, perhutanan, sumber laut dan sumber asli.

Beliau berkata sekiranya direka dan diselaraskan dengan betul, realiti institusi ini bukanlah komplikasi tetapi satu kekuatan.

“Tatakelola perubahan iklim yang berkesan di Malaysia mesti mengiktiraf peranan dan tanggungjawab Sabah serta Sarawak, sambil memastikan kesepaduan di peringkat nasional.

“Ini bukan tentang mewujudkan sempadan, sebaliknya ia mengenai membina jambatan supaya aspirasi Persekutuan dan pelaksanaan di peringkat negeri saling mengukuhkan satu sama lain.

“Sarawak kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan dan Sabah, memastikan penyelarasan dasar, koordinasi pelaburan serta perkongsian pengetahuan supaya usaha perubahan iklim memberi faedah kepada seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529879