PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat membina Program Residensi Rakyat (PRR) terbesar di Seri Permaisuri, Kuala Lumpur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan PRR membabitkan 1,319 unit untuk dijadikan rumah transit kepada mahasiswa dan generasi muda.
“Satu berita baik lagi apabila KPKT merancang untuk membina PRR, iaitu program residensi rakyat paling besar dalam negara kita di Seri Permaisuri, Kuala Lumpur,” katanya.
Nga berkata demikian pada Program Ihya Ramadan - Islah MADANI: Memurni Jiwa Membangun Ummah bersama-sama warga KPKT, yang turut dihadiri Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata PRR yang bakal dibina itu akan menjadi kawasan perumahan yang cantik di negara ini dan butiran lanjut dijangka diumumkan pada majlis pecah tanah akan datang.
PRR adalah program perumahan awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, khusus bagi membantu golongan setinggan dan B40 supaya dapat menikmati kemudahan perumahan yang lebih baik dan selesa pada kadar harga jualan mampu dimiliki atau kadar sewa yang rendah.
Pada majlis itu, Perdana Menteri bersama warga KPKT mendengar tazkirah bertajuk ‘Ramadan Membina Perpaduan dan Kasih Sayang’ disampaikan oleh Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Haris dan menunaikan solat Zuhur berjemaah.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
-- BERNAMA