AM

AirBorneo Lancar Sistem Daftar Masuk Dalam Talian Bagi Laluan Dikendalikan ATR

03/03/2026 09:23 AM

KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- AirBorneo memperkenalkan daftar masuk dalam talian bagi semua laluan yang dikendalikan pesawat turboprop ATR miliknya, sekali gus meningkatkan kemudahan kepada penumpang di seluruh Malaysia Timur.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh milik Kerajaan Negeri Sarawak itu, perkhidmatan baharu berkenaan membolehkan penumpang membuat daftar masuk secara digital, memilih tempat duduk pilihan mereka dan menerima pas masuk elektronik sebelum tiba di lapangan terbang, sekali gus mengurangkan masa menunggu serta meningkatkan kecekapan keseluruhan perjalanan.

Kenyataan itu memaklumkan daftar masuk dalam talian tersedia bagi semua tempahan yang layak, termasuk pengembara individu, keluarga dan penumpang berkumpulan bagi laluan yang dikendalikan oleh pesawat ATR 72-500 milik AirBorneo.

“Penumpang yang melakukan perjalanan dengan bagasi daftar masuk boleh terus ke kaunter serahan bagasi sebaik tiba di lapangan terbang, sekali gus memperkemaskan proses sebelum berlepas,” menurut kenyataan itu semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata pengenalan daftar masuk dalam talian di seluruh rangkaian ATR syarikat penerbangan itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan digital AirBorneo.

“Walaupun kami komited untuk memodenkan perkhidmatan kami, kami juga mengambil kira banyak komuniti yang kami layani, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mungkin mempunyai capaian internet yang terhad.

“Penambahbaikan ini memberikan kemudahan tambahan kepada mereka yang mampu mengaksesnya, sementara kami terus mengekalkan perkhidmatan kaunter lapangan terbang sepenuhnya bagi memastikan tiada penumpang yang tercicir. Keutamaan kami kekal untuk menyediakan kesalinghubungan yang boleh dipercayai, inklusif dan berteraskan rakyat untuk Sarawak,” katanya.

Penumpang boleh mengakses perkhidmatan daftar masuk dalam talian AirBorneo melalui laman web rasmi syarikat penerbangan itu menggunakan nombor rujukan tempahan dan nama keluarga mereka. Daftar masuk dalam talian dibuka 48 jam sebelum berlepas dan ditutup 90 minit sebelum pesawat berlepas.

Bagi penerbangan yang dikendalikan oleh pesawat DHC-6-400 Twin Otter, daftar masuk akan terus dilakukan di kaunter lapangan terbang bagi memastikan kesiapsiagaan operasi dan bantuan kepada penumpang di landasan udara terpencil.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529729