Oleh Norhidayyu Zainal
SERDANG, 2 Mac (Bernama) -- Permainan berpapan CASHFLOW 101 menjadi tumpuan utama ASEAN University Cashflow Challenge 2026 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini baru-baru ini, menawarkan ilmu kewangan menerusi simulasi interaktif kepada pelajar.
Disertai oleh kira-kira 200 mahasiswa dari seluruh ASEAN, permainan yang dirasmikan oleh penulis buku kewangan terkenal Robert Kiyosaki itu mendidik mereka tentang pengurusan gaji bulanan, perbelanjaan tidak dijangka serta peluang pelaburan, mencerminkan suasana kehidupan sebenar dalam persekitaran berstruktur.
pic-2
Program itu dianjurkan secara bersama-sama oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Perpustakaan Sultan Abdul Samad serta Majlis Keusahawanan Universiti-universiti Malaysia, dengan matlamat melahirkan siswazah yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga celik kewangan dan berdaya saing di peringkat global.
Pengarah CEM Prof Madya Dr Hizmawati Madzin, ketika bercakap pada majlis itu, berkata ASEAN University Cashflow Challenge 2026 berfungsi sebagai platform strategik untuk memupuk literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa.
pic-3
“Menerusi pendekatan simulasi interaktif seperti CASHFLOW 101, pelajar memperoleh pemahaman praktikal tentang pengurusan aliran tunai, penilaian risiko dan pembinaan aset melangkaui teori bilik kuliah,” katanya, menambah kerjasama rentas institusi turut membuka peluang jaringan antarabangsa dalam kalangan pelajar universiti ASEAN, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan serantau.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UPM Mohamad Sabrie Mohamad Salleh berkata inisiatif seperti ASEAN University Cashflow Challenge 2026 mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa literasi kewangan perlu melangkaui pengetahuan dalam buku teks.
pic-4
Beliau berkata walaupun pelajar menamatkan pengajian dengan kelayakan akademik, ramai masih kurang memahami mekanisme inflasi, struktur hutang dan kelestarian kewangan jangka panjang.
“Program seperti ini membantu merapatkan jurang antara teori dan realiti kewangan sebenar,” katanya.
pic-5
Seorang daripada peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Vishnu, 22, berkata permainan itu memperkenalkannya kepada konsep kewangan praktikal seperti memperoleh dividen dan mengurus wang melalui simulasi.
“Ini pertama kali kami bermain permainan ini dan kami belajar perkara seperti cara menjual, memperoleh dividen serta memahami aliran tunai dengan lebih baik,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Ekonomi) di Universiti Sains Malaysia itu.
Bagi penuntut pentadbiran perniagaan daripada Universiti Malaya, Chloe Wong Ch’ng Yin, 20, permainan itu membantunya memahami kepentingan menguruskan kewangan dengan bijak.
pic-6
“Kita yang harus kawal wang, bukan biarkan wang kawal kita. Permainan ini mendidik saya bagaimana hendak mengurus dan melaburkan wang saya,” katanya.
Muhammad Rafiq Fikri Rosnizam, 24, daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah pula berkata permainan itu memberi pengetahuan mendalam tentang perniagaan dan pelaburan.
“Permainan ini melibatkan perkara seperti saham dan pelaburan dalam syarikat, dan membantu kami menilai sama ada sesuatu keputusan kewangan itu berbaloi atau tidak,” kata pelajar dalam bidang teknologi maklumat itu.
-- BERNAMA