IPOH, 3 Mac (Bernama) -- Dua penolong pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,000 pada 2020 dan 2022.
Wan Muhamad Huzairi Shukri, 42, dan Nor Haslan Nor Zaman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa secara bersama menerima wang tunai berjumlah RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank Wan Muhamad Huzairi daripada seorang pengurus Syarikat Pixtor Solution, atas arahan Nor Haslan.
Kedua-dua tertuduh yang bertugas di Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, mengetahui pengurus syarikat yang berusia 38 tahun itu mempunyai urusan rasmi dengan unit berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional cawangan Medan Gopeng, di sini pada 27 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama melibatkan wang tunai masing-masing berjumlah RM1,500 dan RM500 di lokasi sama pada 6 Jan dan 29 Mac 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) G. Nanthini menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak menganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Hafiz Norkhan memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kedua-dua tertuduh telah berkahwin, mempunyai tanggungan iaitu isteri, ibu bapa serta anak yang masih bersekolah dan masing-masing mempunyai pendapat bersih RM6,000 dan RM7,000 serta telah memberi kerjasama sejak ditahan SPRM pada 1 Jan 2025.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 setiap seorang untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Ipoh setiap bulan hingga kes selesai dan menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA