Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Penyanyi popular India Jubin Nautiyal akan menghiburkan peminat muzik Bollywood secara langsung di Mega Star Arena KL, Sungei Wang Plaza, di sini pada 9 Mei.
Datuk Seri Yakaya seorang daripada penganjur berkata konsert Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026 sebahagian daripada inisiatif membawa persembahan antarabangsa berkualiti tinggi kepada penonton Malaysia.
“Kami akan menganjurkan 10 konsert yang menampilkan hanya artis Gred A dari Bollywood, Kollywood dan muzik antarabangsa. Matlamat kami ialah memberikan persembahan berkualiti untuk pengalaman hebat penonton,” katanya kepada Bernama.
Terkenal dengan lagu popular seperti Tum Hi Aana, Lut Gaye dan Raataan Lambiyan, Jubin mendapat jutaan strim di seluruh dunia dan membina pengikut melalui vokal emosinya serta runut bunyi romantis dalam pelbagai filem Bollywood.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui Ticket2U dan sebagai sebahagian daripada promosi istimewa, peminat boleh menikmati diskaun 15 peratus untuk pembelian dari 14 hingga 28 Feb.
Yakaya berkata penganjur juga merancang pertandingan bakat untuk rakyat Malaysia yang menawarkan peluang kepada mereka mempamerkan kebolehan di pentas yang sama dengan Jubin.
“Kami mahu memberi peluang kepada bakat tempatan dengan pemenang dapat membuat persembahan secara langsung semasa konsert. Ini peluang keemasan untuk artis baharu,” katanya.
-- BERNAMA