GAYA HIDUP

Karyawan Bantu Mama Rina Dapatkan Rawatan Susulan, Kaki Palsu

11/02/2026 09:20 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

JOHOR BAHRU, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan penyanyi Mama Rina atau Hairini Abdul Halim,63, menerima rawatan susulan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kaki palsu.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu kini berkerusi roda selepas kaki kanannya terpaksa dipotong paras lutut akibat komplikasi diabetes pada awal Januari lepas.

"Semua berpunca apabila saya terseliuh beberapa bulan lepas di depan rumah, kemudian kaki mula membengkak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Ulu Tiram, di sini hari ini.

pic-2

Keadaan itu menyebabkan Mama Rina yang aktif melakukan persembahan jalanan di Pandan Uptown Market di sini, hilang sumber pendapatan dan bergantung pada bantuan bulanan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga tidak larat buat kuih raya untuk dijual tahun ini, selalunya kalau 'busking' saya letak jualan sekali," katanya.

Terdahulu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Datuk Khatijah Ibrahim  melawat beliau dan menyerahkan sumbangan wang tunai.

Khatijah berkata Karyawan akan membantu Mama Rina bagi memastikan artis itu dapat meneruskan kegiatan sebagai seorang penyanyi.

pic-3

"Ada pakar yang insya-Allah boleh membantu kaki Mama Rina terutama sakit yang dialami selepas kakinya dipotong.

"Sekiranya diizinkan, dapat kaki palsu, Mama Rina boleh teruskan menyanyi. Semangatnya dikagumi untuk terus berjuang," katanya.

Dalam pada itu, Freddie Fernandez berkata pihaknya sentiasa memastikan penggiat seni mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya yang melibatkan pelbagai kes.

"Kita juga meneruskan (pelbagai) program yang sebelum ini telah dilaksanakan untuk  mengutip derma dan dana kebajikan, dan kita akan melihat kes yang memerlukan bantuan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522968