GAYA HIDUP

YKAT Santuni Artis Veteran Sempena Tahun Baharu Cina

12/02/2026 09:50 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) menyantuni artis veteran dengan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Pengerusinya Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berkata sumbangan kepada 15 selebriti itu sebahagian daripada komitmen berterusan YKAT dalam menjaga kebajikan penggiat seni tempatan yang banyak berjasa kepada industri hiburan negara.

“Mungkin sumbangan ini tidak mampu membalas jasa mereka, nilainya mungkin kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka dalam dunia seni. Tetapi ini tanda penghargaan, keprihatinan dan kasih sayang YKAT serta penyumbang yang sentiasa menyokong usaha kebajikan ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

pic-2

DJ Dave berkata yayasan itu komited melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan penggiat seni serta pembangunan industri seni tanah air secara menyeluruh selain menjadi platform sokongan kepada mereka yang berdepan cabaran hidup khususnya dari aspek kesihatan dan kebajikan.

Sementara itu, pelakon Remon Lim, 62, bersyukur dan terharu kerana masih ada yang mengingati jasanya dalam industri hiburan walaupun sudah memasuki usia emas.

pic-3

“Saya baru tahu ada yayasan memberi sumbangan seperti ini untuk menjaga kebajikan artis veteran. Ini penghormatan dan saya sangat gembira bila tahu menerima sumbangan ini kerana membantu dalam persiapan,” katanya.

Selain itu, penyanyi Hee Yow Fong, Tong Yet Mee dan S. Selvarajah serta pelakon Fadila Husin, Chen Puie Kong atau Eric Chen, Yong Yap Keng dan Zalela Abdul Kadir juga antara penerima sumbangan itu yang mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat tanpa mengira latar belakang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523398