Oleh Adnan Mohamad
KOTA BHARU, 14 Feb (Bernama) -- Kewujudan gendang berusia 147 tahun yang dianugerahkan oleh Sultan Muhammad II pada 1879, bukan sahaja menjadi antara ikon pelancongan di Kelantan, malah sebagai simbol keharmonian masyarakat setempat terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Penganut Tokong Mek, Tan Kien Seng berkata gendang yang ditempatkan di tokong ini jelas membuktikan bahawa hubungan raja dan rakyat sudah lama terjalin tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
"Tokong Mek kini bukan sekadar rumah ibadat, tetapi saksi sejarah hubungan antara dua kaum utama di Kelantan dan gendang itu menjadi lambang persahabatan yang kekal hingga ke hari ini.
"Mengikut sejarah, gendang berukuran satu meter panjang serta lebar setengah meter itu turut disertakan dengan tulisan Sultan Mohamed Ke-II (Tuan Senik bin Long Tan) bertarikh 1879, sekali gus dapat menarik pengunjung untuk melihat keunikan gendang tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di Tokong Mek dekat Kampung Cina, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Tan berkata gendang itu tersimpan rapi di dalam kaca menarik minat ramai pengunjung dari dalam dan luar negara, yang ingin melihat sendiri keunikan gendang itu.
"Ramai juga pengunjung daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Siam datang untuk menyaksikan sendiri gendang itu bagi mengetahui sejarah mengenainya, sekali gus menjadikan tokong ini sebagai ikon pelancongan.
"Menariknya gendang ini anugerah daripada Sultan Kelantan sebagai tanda penghargaan terhadap masyarakat Cina ketika itu, dan ia melambangkan persahabatan erat antara kaum Melayu dan Cina di negeri ini sejak zaman dahulu," katanya.
Beliau berkata tidak hairanlah sehingga sekarang masyarakat tempatan di sini, terutamanya Cina dan Melayu amat rapat menjalinkan hubungan sesama mereka dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
"Sebagai contoh, setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina, ramai juga orang Melayu yang hadir bagi menyaksikan sambutan ini seperti pertunjukan mercun dan sebagainya.
"Sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini, kami turut mengantung 1,000 tanglung sebagai perhiasan bagi mencantikkan persekitaran tokong yang berusia 236 tahun ini," katanya.
Penduduk, Ahmad Faisal Othman, 25, berkata Tokong Mek memang tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu di kampung berkenaan kerana ia telah lama wujud, dan pelbagai acara menarik dilakukan setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.
"Setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina, saya tidak sabar untuk menanti kemeriahan sambutan yang dilakukan di Tokong Mek, malah kawasan itu akan dipenuhi orang ramai daripada pelbagai kaum untuk melihat keunikan perayaan kaum Cina.
"Saya sendiri pernah beberapa kali melawat sekitar tokong ini, apatah lagi ingin mengetahui sejarah berkaitan gendang pemberian daripada Sultan Kelantan sebelum ini," katanya.
Bagi pengunjung kaum India dari Tumpat, K.Rajan pula berkata keunikan Tokong Mek agak berbeza dengan tokong lain di Kelantan kerana mempunyai ukiran yang menarik dan mengambarkan suasana waktu silam.
"Saya sudah kunjungi banyak tokong di seluruh negara, namun beberapa tokong di Kelantan cukup menarik dan diserikan lagi dengan hiasan tanglung ketika perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.
-- BERNAMA