Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kemunculan kecerdasan buatan atau AI dalam industri kreatif membuka ruang baharu kepada dunia penyiaran, namun teknologi itu tidak mampu menggantikan peranan penyampai radio yang berteraskan sentuhan jiwa.
Bekas penyampai radio terkenal Halim Othman, 62, berkata kehadiran AI mungkin memudahkan akses maklumat serta membuka ruang eksperimen baharu dalam dunia audio, tetapi “kehangatan” suara manusia kekal menjadi nadi platform itu sejak dahulu.
“Tidak dinafikan AI boleh memudahkan kerana boleh beri apa sahaja maklumat yang kita mahukan. Tetapi, radio ialah penyampaian dari jiwa ke jiwa, dan perkara itu masih lagi kerja manusia.
“Apabila seorang penyampai bercakap, ia bukan sekadar daripada mulut kepada telinga, tetapi daripada jiwa penyampai kepada jiwa pendengar, yang itu AI tidak boleh buat. Kalau orang kata selepas ini penyampai tidak boleh cari makan, saya rasa satu-satunya kerjaya yang tidak boleh diambil AI ialah penyampai radio,” katanya pada program Digitalisasi Frekuensi: Masa Depan Radio bersempena dengan Hari Radio Sedunia 2026 di Bernama Radio, hari ini.
Halim berkata walaupun radio ialah medium hiburan, ia tetap satu seni persembahan yang memerlukan keseimbangan antara elemen maklumat, hiburan dan sentuhan emosi.
Beliau mengingatkan penggiat industri agar kembali kepada ketulenan radio sebagai “persembahan tanpa wajah” yang bergantung sepenuhnya pada kekuatan suara dan keupayaan menghidupkan imaginasi pendengar.
“Saya nampak sekarang ramai meletakkan kamera di dalam studio, tetapi radio pada asasnya tidak glamor. Ia hidup dalam studio dan bergantung pada suara. Untuk radio diminati semula, kita perlu kembali kepada kebolehan menghidupkan hari seseorang melalui suara,” katanya.
pic-2
Turut sependapat, penyampai radio popular Linda Onn, 49, yang berkata kekuatan radio tetap pada hubungan antara penyampai dengan pendengar yang menuntut keserasian emosi yang tidak mampu digantikan oleh AI.
“Saya mula dari zaman CD dan kaset, banyak bergantung pada surat khabar dan majalah untuk maklumat. Sekarang ini, semua benda orang nak harapkan AI, daripada cari informasi sampai nak susun idea pun guna AI. Bagi saya, kita kena kembali kepada jiwa.
“Benda-benda robotik ini saya rasa tak sampai kepada jiwa kita. Jadi, kita sendiri kena tahu menilai yang mana satu tulen, yang mana satu sekadar teknologi,” katanya.
Linda yang juga seorang usahawan tidak menolak landskap media akan menjadi lebih mencabar dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan kemunculan pelbagai platform digital dan teknologi suara tiruan.
-- BERNAMA