Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mahu kesinambungan transformasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dilaksanakan Ketua Pengarah Penyiaran RTM Datuk Suhaimi Sulaiman diperkukuh, bukan sahaja dari segi pengurusan malah meliputi dasar serta kerjasama strategik dengan industri.
Presidennya Datuk Jurey Latiff Rosli berkata kepimpinan Suhaimi berjaya mengangkat semula peranan penyiar awam itu lebih dekat dengan industri dan rakyat, selain memperlihatkan usaha penambahbaikan tadbir urus serta keterbukaan berdialog dengan pemain industri.
Beliau berkata pembaharuan pendekatan kandungan yang lebih progresif dan relevan dengan kehendak semasa turut mengembalikan keyakinan terhadap kemampuan RTM sebagai rakan strategik kepada penerbit tempatan.
“Kepimpinan Suhaimi turut mengembalikan keyakinan bahawa RTM mampu menjadi rakan strategik kepada penerbit tempatan dalam membangunkan kandungan berkualiti dan berimpak tinggi.
“PTVM mengambil maklum pengumuman peletakan jawatan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah RTM yang akan berkuat kuasa pada 23 Feb 2026, dan kami, mewakili penggiat industri penerbitan televisyen tempatan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta komitmen beliau sepanjang menerajui RTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
pic-2
Jurey berkata RTM perlu terus memainkan peranan sebagai penyiar awam dalam menyampaikan dasar kerajaan Malaysia MADANI secara berkesan dan berimbang melalui kandungan yang membina negara bangsa, memperkukuh perpaduan serta mencerminkan realiti dan aspirasi rakyat.
“PTVM kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan RTM dan kerajaan bagi memastikan ekosistem industri televisyen negara terus berkembang secara profesional, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Semalam, Suhaimi mengesahkan kepada Bernama akan meninggalkan RTM berkuat kuasa akhir bulan ini, selepas tiga tahun menerajui agensi itu sejak Januari 2023.
Beliau berkata pengunduran daripada jabatan itu merupakan keputusan peribadi selepas membuat pertimbangan terperinci terhadap hala tuju peribadi, selain mahu melangkah ke fasa baharu dalam hidup.
-- BERNAMA