Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Lebih lima tahun tidak menghiasi kaca televisyen; bukan kerana tidak ada tawaran tetapi atas pilihan sendiri yang mahu menumpukan perhatian pada keluarga dan perniagaan; pelakon Bella Dally mengaku kehidupannya kini lebih tenang dan serba cukup.
Bella, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, ketika ditemui Bernama berkata keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri selepas berkahwin pada 2019 tanpa dipengaruhi sesiapa.
“Sekarang memang saya ‘pause’ berlakon, hanya fokus pada perniagaan dan juga ‘modelling’ dengan Ariani. Raya memang sangat sibuk dengan banyak koleksi, tapi dalam masa sama saya nak beri lebih masa kepada suami dan keluarga.
“Saya memang nak lebih ‘privacy’. Itu antara sebab utama saya berhenti berlakon. Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan ‘lowkey’ macam ini,” katanya ketika ditemui selepas Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menginjak usia 35 tahun, Bella mengakui perspektifnya terhadap kehidupan semakin matang, selari dengan fasa baharu yang sedang dilaluinya.
pic-2
“Tahun lepas saya menunaikan haji dan alhamdulillah… kadang-kadang kita tengok dunia ini sudah berbeza,” kata aktres yang pernah membintangi drama Akulah Balqis ini.
Walau bagaimanapun, wanita berasal dari Sabah itu tidak menolak untuk kembali ke bidang lakonan sekiranya menerima watak yang benar-benar menyentuh hatinya.
“Saya takkan kata tidak. Kalau saya baca skrip atau karakter itu kena dengan jiwa saya, mungkin saya akan kembali,” katanya menambah suaminya, Arif Izuddin Mohd Radzali tidak pernah menyekat kebebasannya untuk menceburi bidang yang disukai.
Ditanya watak idaman sekiranya kembali berlakon, Bella berkata beliau cenderung kepada skrip yang kukuh dan membawa karakter wanita kuat.
“Saya suka watak wanita yang kuat, yang boleh beri inspirasi dan keyakinan kepada wanita di luar sana. Saya nak sebarkan sesuatu yang positif,” katanya.
-- BERNAMA