TANGKAK, 11 Julai (Bernama) -- Seorang usahawan produk kesihatan berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM84,000 lebur tidak sampai dua bulan setelah terjebak kes penipuan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata wanita berusia 52 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek melalui aplikasi TikTok pada Februari lepas.
Beliau berkata mangsa telah ditawarkan untuk menyertai pelaburan kripto menerusi laman sesawang ‘Aleosgm.Top’ dan terperdaya dengan tawaran keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.
“Mangsa telah melakukan 17 transaksi ke dalam lima akaun berbeza yang disyaki akaun keldai (mule account), bermula 29 Mei hingga Isnin lepas (7 Julai) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM84,000.
“Menyedari dirinya tertipu, satu laporan polis dilakukan semalam dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
-- BERNAMA