JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden Helikopter PDRM: Keluarga Konstabel Devendran Serah Sepenuhnya Kepada Pakar

11/07/2025 09:25 PM

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Keluarga Konstabel R G Devendran, seorang daripada  mangsa nahas helikpoter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam, menanti dengan penuh harapan selepas anggota muda itu masih ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Kami serah sepenuhnya kepada pakar. Buat masa ini dia masih ditidurkan susulan jangkitan pada paru-paru…kita hanya mampu berdoa,” kata abangnya, R G Navindran, 39, yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Navindran berkata doktor memaklumkan keadaan adiknya itu mungkin berpunca daripada komplikasi akibat lemas, dan pihak hospital sedang memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

Devendran, 30, anak bongsu daripada empat beradik, kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan baru setahun lebih menyertai PDRM.

“Dia memang minat jadi polis, saya pun polis juga. Kami dua beradik sahaja yang berkhidmat dalam pasukan,” kata Navindran ketika ditemui Bernama di HSA hari ini.

Semalam, helikopter jenis AS355N milik PDRM yang membawa lima kru terhempas ke dalam Sungai Pulai ketika menjalani latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025, membabitkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Kesemua kru berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan kini menerima rawatan lanjut di HSA.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, juruterbang ACP Faizul Muhammad, 46, terpaksa melupakan hasrat untuk menghantar anak sulungnya mendaftar masuk universiti hujung minggu ini ekoran kecederaan pada kepala, tulang rusuk dan pinggang yang dialaminya dalam insiden itu dan sedang dirawat di HSA.

“Sepatutnya, Ahad ini dia nak hantar sendiri anak perempuan mendaftar di universiti di Terengganu, tapi sekarang isterinya yang akan ambil alih tugas itu,” kata kakak iparnya Liza Omar, 46, 

Liza berkata keadaan Faizul kini stabil dan menunjukkan perkembangan positif, termasuk sudah boleh makan, bercakap dan bergurau bersama ahli keluarga.

"Hari ini dia minta saya bawakan kuih, berbanding semalam luluh hati tengok keadaannya. Kami memang terkejut tapi syukur keadaannya semakin baik walaupun masih dalam pemantauan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim memaklumkan kesemua lima anggota dan pegawai PDRM yang terlibat dalam insiden itu berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di HSA. 

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Jeti Maritim Gelang Patah mendapati dua pelampung yang dipercayai untuk menandakan lokasi bangkai helikopter berkenaan telah diletakkan di Sungai Pulai.

Bagaimanapun, tiada sebarang pergerakan atau kerja-kerja kelihatan di lokasi terbabit malah pintu utama untuk memasuki kawasan jeti berkenaan ditutup.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444359