KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan minggu ini lebih tinggi walaupun dolar AS mengukuh, berikutan kebimbangan geopolitik yang mendorong permintaan terhadap aset selamat.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas dilihat mendapat minat belian yang tinggi, yang lebih banyak didorong oleh ketegangan geopolitik yang kembali memuncak berbanding aliran makroekonomi.
Beliau merujuk pusingan terbaharu tarif Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan Kanada serta spekulasi bahawa Kesatuan Eropah mungkin menjadi sasaran seterusnya oleh Washington, yang menyaksikan kedua-dua faktor ini telah merangsang semula minat terhadap aset selamat.
“Emas sekali lagi diniagakan sebagai pelindung nilai terhadap ketidakpastian dasar, bukannya semata-mata berdasarkan jangkaan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Kontrak bulan semerta Julai 2025 meningkat kepada US$3,346.20 setiap auns troy daripada US$3,338.20 pada Khamis.
Kontrak Ogos 2025 naik kepada US$3,362.70 daripada US$3,353.60, dan kontrak September 2025 menambah kepada US$3,377.60 daripada US$3,368.50.
Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 pula masing-masing meningkat kepada US$3,397.50, naik daripada US$3,387.50.
Jumlah dagangan menokok kepada 28 lot daripada 17 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka naik kepada 72 kontrak daripada 59 sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$3,312.60 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 10 Julai 2025.
-- BERNAMA