BINTANGOR, 11 Julai (Bernama) -- Polis menyerbu kegiatan sabung ayam berhampiran Tanjung Manis semalam dan menahan enam lelaki.
Ketua Polis Meradong DSP Tansli Mering berkata beberapa barangan turut dirampas antaranya ayam sabung yang hidup dan telah mati, penimbang serta papan putih yang digunakan semasa pertarungan.
"Kesemua suspek warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram itu ditahan di Balai Polis Bintangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tansli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM2,000, penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihati orang awam supaya menjauhi sebarang bentuk perjudian haram termasuk sabung ayam dan menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti terbabit.
-- BERNAMA