KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN menantikan pengukuhan koordinasi serantau bagi meningkatkan perdagangan makanan halal, bagi menyahut permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk halal.
Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 pada Rabu, mereka menekankan keperluan untuk menyelaraskan piawaian halal nasional dengan piawaian serantau dan antarabangsa.
Blok serantau itu juga menggesa penyertaan aktif semua pihak berkepentingan dalam membangunkan industri makanan halal ASEAN.
“Kami amat menggalakkan penglibatan aktif semua pihak berkepentingan yang berkaitan, terutamanya sektor swasta untuk memajukan industri makanan halal ASEAN, termasuk menerusi pertukaran dan perkongsian pengalaman serta amalan terbaik,” menurut kenyataan bersama itu.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, melibatkan 24 mesyuarat peringkat menteri, mengumpulkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral, untuk mengukuhkan kerjasama dan perkongsian serantau.
-- BERNAMA