Oleh Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) menekankan keselamatan siber sebagai bidang kerjasama utama dengan ASEAN, sambil menggariskan komitmen bersama untuk menangani ancaman siber dan melindungi ekonomi digital serantau yang berkembang pesat.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata usaha membanteras sindiket jenayah siber yang menyasarkan mangsa merentasi sempadan merupakan antara isu utama yang dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berakhir pada Jumaat di Kuala Lumpur.
“Antara perkara yang kami beri perhatian ialah mengekang penipuan dalam talian yang berlaku merentasi negara. Penipuan ini bukan sahaja menyasarkan rakyat Amerika, tetapi juga rakyat di banyak negara anggota ASEAN,” katanya kepada pemberita di sini.
Rubio turut menyuarakan harapan agar tindakan bersama terhadap penipuan dan ancaman siber dapat membawa hasil yang konkrit, sambil menambah bahawa Washington menantikan satu mesyuarat pemimpin ASEAN-AS yang positif dan produktif pada Oktober nanti.
“Jika kita melihat kepada ekonomi digital yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan global, sebahagian besar pertumbuhan itu akan berlaku di Asia, khususnya Asia Tenggara,” katanya.
Rubio menjelaskan bahawa dua pertiga daripada pertumbuhan ekonomi global dijangka berlaku di rantau ini dalam tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang serta kebanyakannya didorong oleh platform digital.
“Platform-platform ini perlu dilindungi. Ia mesti selamat daripada jenayah siber dan juga daripada aktor negara yang mungkin cuba mengganggu kestabilannya.
“Itulah antara tema yang sering dibincangkan dalam semua sesi libat urus kami dan semua pihak menyatakan kesediaan tinggi untuk bekerjasama dalam perkara ini,” katanya.
-- BERNAMA