KUANTAN, 11 Julai (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan susulan video tular di media sosial berhubung satu pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki yang dipercayai berlaku di Sky Avenue, Genting Highlands, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya telah menerima dua laporan polis mengenai kejadian itu, pada 11.49 pagi dan 12.50 tengah hari tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memohon kerjasama daripada mana-mana individu yang terlibat atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
Zaiham juga menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan, memandangkan kes masih dalam siasatan pihak polis.
Semalam, tular sebuah video berdurasi 55 saat di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di kawasan Sky Avenue, Genting Highlands, Bentong.
-- BERNAMA