KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan optimis Harimau Malaya mampu menyertai kelompok 100 pasukan terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Zainal yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata revolusi Harimau Malaya dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mampu meningkatkan kualiti skuad kebangsaan pada masa depan.
“Alhamdulillah, ini satu pencapaian yang baik dan membanggakan buat keluarga bola sepak Malaysia, kita berdoa insya-Allah (Harimau Malaya) memperbaiki kedudukan lebih baik akan datang.
“Yang penting, semua keluarga bola sepak harus memberi sokongan baik untuk kita maju kerana kita tahu kita sudah ketinggalan di peringkat antarabangsa begitu lama,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjanjian kerjasama strategik bersama FAM dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) yang turut dihadiri Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohamad Amin dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan–Perbankan Runcit Bank Islam Mizan Masram.
Semalam, kedudukan Harimau Malaya melonjak enam anak tangga ke ranking 125 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ranking itu adalah yang terbaik dalam tempoh 19 tahun sejak kali terakhir menduduki tangga ke-125 dunia pada Februari 2006.
Lonjakan itu disumbang menerusi dua keputusan memberangsangkan sebelum ini, iaitu seri 1-1 menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan pada Mei lepas, serta kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 bulan lepas.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik serantau apabila menghuni tangga ke-102 dunia, diikuti Vietnam (113), Indonesia (118), manakala Malaysia (125).
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Bank Islam yang telah bersama mereka sejak 2013.
“Kerjasama erat yang terjalin bukan sahaja mengukuhkan usaha pembangunan bola sepak negara, malah memberi inspirasi kepada kami untuk terus bekerja lebih keras dalam membangunkan ekosistem yang inklusif dan mampan,” katanya.
Mizan pula berbesar hati kerana Bank Islam sekali lagi diberi kepercayaan dan ruang untuk menyumbang secara langsung kepada perkembangan sukan bola sepak negara menerusi lanjutan perjanjian kerjasama bagi tempoh dua tahun lagi.
-- BERNAMA