AM

RHB, IJN Jalin Kerjasama Strategik Perkasa Akses Penjagaan Kesihatan

11/07/2025 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kumpulan Perbankan RHB menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN), bagi memperluas akses kepada penjagaan kesihatan, mempromosikan kesejahteraan kakitangan dan memperkukuh keterangkuman kewangan, terutamanya untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tiga tahun itu, sebuah klinik bergerak 40 kaki, yang dilengkapi peralatan diagnostik utama akan digerakkan bagi menyediakan penjagaan pencegahan, saringan kesihatan, dan program kesedaran di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata inisiatif itu, menekankan komitmen Kumpulan untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan penting secara langsung kepada komuniti yang memerlukan.

“IJN telah menjadi rakan kesihatan yang dipercayai RHB, menyokong inisiatif kesejahteraan kami melalui acara berbasikal utama seperti RHB Lekas Highway Ride dan RHB Langkawi Ride.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, RHB dan IJN akan memperluas lagi impak ini dengan menggerakkan unit kesihatan bergerak ke lebih banyak kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, RHB Bank Islamik menerajui program “Siswa Kolej Universiti IJN (IJNUC)”, bertujuan memperkasakan pelajar dengan membolehkan mereka membuka Akaun Simpanan RHB Pro, yang turut memberikan akses automatik kepada perkhidmatan perbankan mudah alih dan fungsi DuitNow QR, sekali gus memudahkan urusan transaksi tanpa tunai di kampus.

Lebih daripada 900 pelajar dijangka mendapat manfaat setiap tahun, selain menikmati diskaun gaya hidup eksklusif daripada rakan strategik RHB, yang merangkumi sektor telekomunikasi, makanan dan barangan sukan.

“Menerusi Program Siswa IJNUC ini, kami membantu golongan belia membangunkan kemahiran pengurusan kewangan yang praktikal, bagi menyokong mereka sepanjang tempoh pengajian dan masa depan mereka,” kata Mohd Rashid.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata kerjasama itu, memperkukuh misi IJN untuk menyediakan penjagaan jantung dan perkhidmatan pencegahan kepada komuniti yang paling memerlukan, memandangkan klinik bergerak IJN telah mencapai 192 komuniti di 10 negeri.

“Kerjasama ini melangkaui aspek kesihatan; ia merupakan satu pelaburan terhadap generasi pemimpin penjagaan kesihatan yang akan datang. Dengan menyediakan akses kepada alat kewangan dan literasi kewangan kepada pelajar kami, kami bukan sahaja mempersiapkan mereka untuk kerjaya klinikal, malah juga untuk kehidupan dalam dunia yang dipacu teknologi,” katanya.

Kerjasama ini turut merangkumi kempen kesejahteraan bersama di sekolah, komuniti dan kawasan luar bandar, selain pakej saringan kesihatan eksklusif IJN untuk kakitangan RHB serta keistimewaan khas untuk segmen pelanggan terpilih RHB.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444007