EKONOMI

AI Dilihat Sebagai Pemacu Pertumbuhan Pada 2025 - WEF

28/05/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Tinjauan pertumbuhan ekonomi global tahun ini adalah pelbagai dan di bawah tekanan dengan prospek yang lemah di Amerika Utara, daya tahan di rantau Asia-Pasifik dan optimis tetapi berhati-hati di Eropah, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

WEF dalam satu kenyataan susulan penerbitan laporan Ketua Ahli Ekonomi hari ini, berkata prospek ekonomi global semakin merosot sejak awal tahun kerana peningkatan nasionalisme ekonomi dan turun naik tarif mencetuskan ketidaktentuan dan risiko menghalang untuk melakukan sebarang keputusan jangka panjang.

“Laporan itu mendedahkan bahawa majoriti (79 peratus) ahli ekonomi yang ditinjau melihat perkembangan geoekonomi semasa sebagai petunjuk perubahan struktur ketara bagi ekonomi global dan bukannya gangguan yang berlaku buat sementara waktu,” katanya.

Penggubal dasar dan pemimpin perniagaan mesti respon terhadap ketidaktentuan yang semakin meningkat dan ketegangan perdagangan dengan penyelarasan lebih baik, ketangkasan strategik dan pelaburan dalam potensi pertumbuhan teknologi transformatif seperti kecerdasan buatan (AI), kata Pengarah Urusan WEF Saadia Zahidi.

"Langkah-langkah ini penting untuk mengemudi cabaran ekonomi hari ini dan memastikan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang," katanya.

WEF berkata ketidaktentuan global dilihat sangat tinggi oleh 82 peratus ketua ahli ekonomi.

"Walaupun majoriti kecil (56 peratus) menjangkakan keadaan bertambah baik pada tahun depan, kebimbangan berterusan. Hampir semua ketua ekonomi (97 peratus) meletakkan dasar perdagangan antara kawasan yang paling tidak menentu, diikuti dasar monetari (49 peratus) serta dasar fiskal (35 peratus).

"Ketidaktentuan ini dijangka mempengaruhi petunjuk ekonomi utama termasuk volum perdagangan (70 peratus), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (68 peratus) dan pelaburan langsung asing (62 peratus)," katanya.

Ia berkata kebanyakan ketua ekonomi (87 peratus) menjangkakan bahawa perniagaan akan bertindak balas terhadap ketidaktentuan dengan menangguhkan keputusan strategik, meningkatkan risiko kemelesetan.

“Kemampanan hutang juga menjadi kebimbangan yang semakin meningkat, dipetik oleh 74 peratus responden untuk negara maju dan membangun.

“Majoriti besar (86 peratus) menjangkakan kerajaan memenuhi keperluan perbelanjaan pertahanan yang semakin meningkat melalui peningkatan pinjaman, berpotensi meningkatkan pelaburan dalam perkhidmatan dan infrastruktur awam,” katanya.

WEF berkata bahawa AI sudah bersedia untuk memacu gelombang transformasi ekonomi seterusnya, membuka potensi pertumbuhan ketara dan membawa risiko yang serius.

Ia berkata hampir separuh (46 peratus) ketua ekonomi menjangkakan AI akan memberikan rangsangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global yang sederhana iaitu sifar hingga lima mata peratusan sepanjang dekad akan datang dengan 35 peratus lagi mengunjurkan keuntungan lima hingga 10 mata.

“Pemacu pertumbuhan utama termasuk automasi tugas (68 peratus), inovasi dipercepatkan (62 peratus) dan penambahan pekerja (49 peratus).

"Walaupun ia menghasilkan potensi, kebimbangan berterusan: 47 peratus menjangkakan kehilangan pekerjaan bersih sepanjang dekad akan datang, berbanding hanya 19 peratus mengunjurkan keuntungan," katanya.

Secara keseluruhan, WEF berkata responden menekankan penyalahgunaan AI untuk maklumat salah dan ketidakstabilan masyarakat sebagai risiko tertinggi kepada ekonomi (53 peratus).

“Risiko utama lain termasuk peningkatan terhadap penguasaan bahagian saham oleh hanya beberapa syarikat (47 peratus) dan gangguan model perniagaan sedia ada (44 peratus),” katanya.

Untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi AI, WEF berkata kumpulan ketua ekonomi menekankan keperluan untuk tindakan berani daripada kerajaan dan perniagaan.

“Bagi kerajaan, keutamaan utama termasuk melabur dalam infrastruktur AI (89 peratus), menggalakkan penggunaan merentas industri utama (86 peratus), memudahkan mobiliti bakat AI (80 peratus) dan melabur dalam peningkatan kemahiran dan penempatan semula (75 peratus).

“Bagi perniagaan, tumpuan adalah untuk menyesuaikan proses teras untuk mengintegrasikan AI (95 peratus), melatih semula pekerja (91 peratus) dan melatih kepimpinan untuk mengemudi transformasi dipacu AI (83 peratus),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428482