SUKAN

Malaysia Tuan Rumah MITAF 2025 Pada Oktober

01/06/2025 04:38 PM

MELAKA, 1 Jun (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Malaysia International Archery Festival (MITAF) 2025 di Kwasa Damansara, Selangor bermula 9 hingga 12 Okt depan.

Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM) Zainurin Osman berkata dianggarkan 2,000 peserta dari 15 negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Kazakhstan, Turkiye dan Mongolia dijangka menyertai kejohanan berkenaan.

"MITAF 2025 adalah kejohanan pertama anjuran TAAM sejak ditubuh serta diiktiraf oleh kerajaan pada 2022 dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Sebanyak sembilan pemanah akan dipilih mewakili Malaysia, masing-masing tiga bagi kategori lelaki, wanita dan cilik, iaitu mereka adalah pemenang dalam Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 membabitkan lebih 700 peserta dari 16 negeri dan wilayah di negara ini di Pusat Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Zainurin berkata MITAF 2025 diharap menjadi platform melahirkan pelapis pemanah tradisional kebangsaan.

"Kita jangkakan menerima lebih 15,000 pengunjung sepanjang empat hari kejohanan, sekali gus mengangkat acara memanah tradisional di peringkat antarabangsa.

"Hadiah keseluruhan berjumlah USD30,000 disediakan untuk pemenang kejohanan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak TAAM ditubuhkan pada 2022, sebanyak 16 persatuan memanah tradisional negeri turut diwujudkan di seluruh negara selain tujuh persatuan memanah daerah dan 151 kelab memanah tradisional.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429801