AM

Lukisan Mural Cerita Kehidupan Tahanan Tarikan Baharu Di Batu Gajah

29/05/2025 05:12 PM

BATU GAJAH, 29 Mei (Bernama) -- Lukisan mural sepanjang 80 meter yang memaparkan aktiviti harian tahanan (prospek) di Pusat Koreksional Batu Gajah menjadi tarikan baharu di sini.

Lukisan pada tembok dinding pusat koreksional di Jalan Hospital itu menceritakan perjalanan dan aktiviti yang dilakukan oleh prospek sepanjang berada di pusat berkenaan seperti bercucuk tanam, bertukang di bengkel, mengaji al-Quran dan beberapa kegiatan lain.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) Mohamad Razif Ramli berkata lukisan itu adalah inisiatif majlis daerah berkenaan yang bertujuan memperindahkan pemandangan bandar dan diwartakan sebagai rancangan pembangunan produk dalam kawasan pentadbiran. 

“Lukisan sepanjang 80 meter itu dihasilkan oleh sekumpulan pensyarah, mahasiswa dan pakar mural alumni Program Seni Halus Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Cawangan Seri Iskandar. 

“Buat pertama kalinya kita ada kolaborasi dengan agensi kerajaan iaitu Jabatan Penjara Malaysia, selepas UiTM Seri Iskandar masuk kali ketiga seperti yang dilakukan di Local Agenda 21 (LA21),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Lukisan Mural, Kolaborasi Antara MDBG, UiTM dan Pusat Koreksional Batu Gajah yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah dan Tanah Kinta Zulhisham Ahmad Shukori.

Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit, Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah Penolong Komisioner Penjara S. Tanabal dan Timbalan Ketua Projek merangkap Pensyarah Kanan Program Seni Halus KPSK UiTM Perak Cawangan Seri Iskandar Dr Syed Alwi Syed Abu Bakar.

Mohamad Razif  berkata MDBG mengambil inisiatif mengindahkan tembok berkenaan dengan beberapa elemen lukisan mural bertemakan ‘Membentuk Insan Produktif Melalui Pendidikan’ di Pusat Koreksional Batu Gajah itu.

Sementara itu, Syed Alwi berkata beliau bersama sembilan pensyarah, empat pakar alumni dan 12 mahasiswa memulakan lukisan itu pada 15 Feb lepas, dan siap sepenuhnya dalam masa tujuh hari.

“Bagi menghasilkan lukisan mural ini, kami menggunakan cat kalis air dan cuaca untuk memastikan ia bertahan dalam tempoh lima tahun.

“Kesemua lukisan ini bukan sekadar gambaran pelukis tetapi kami masuk sendiri ke dalam Pusat Koreksional Batu Gajah untuk menggambarkan aktiviti yang dilakukan oleh prospek sebelum dipersetujui bersama,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya berharap lukisan itu dapat memberi didikan kepada semua pihak tentang apa yang berlaku di dalam pusat tahanan, selain mengindahkan bangunan-bangunan lama yang ada di Batu Gajah. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428833