PUTRAJAYA, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh meneruskan sepenuhnya Dasar Keutamaan Bumiputera dalam pelaksanaan dasar perolehan kerajaan yang memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera, selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan (PK1.5).
Hal itu sekali gus menafikan dakwaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) melalui media sosialnya bahawa UiTM meminggirkan hak bumiputera menerusi pelaksanaan perolehan universiti itu.
“Pindaan PK1.5 yang dibuat oleh MOF baru-baru ini, berkuat kuasa tahun 2025 adalah berkaitan penetapan Ketua Kewangan atau financial controller bagi syarikat adalah perlu bertaraf bumiputera, sebagai langkah mengukuhkan lagi profesionalisme bumiputera. Pindaan ini terpakai terhadap perolehan oleh UiTM.
“Sebaliknya, pindaan tahun 2025 kepada pelaksanaan peraturan perolehan kerajaan mengikut Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah tidak terpakai kepada UiTM yang merupakan badan berkanun, yang tidak termasuk dalam ruang lingkup perjanjian tersebut,” menurut MOF menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, MOF memaklumkan UiTM merupakan entiti kerajaan yang boleh meneruskan sepenuhnya Dasar Keutamaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan dan ia tidak sama sesekali meminggirkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam pelaksanaan perolehan dan projek.
“MOF akan memastikan setiap pelaksanaan perolehan menyokong Dasar Keutamaan Bumiputera oleh semua agensi kerajaan meningkatkan lagi keupayaan syarikat bumiputera dalam persekitaran ekonomi yang kondusif,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA