KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM46.07 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, meningkat daripada RM33.55 juta pada suku pertama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan meningkat kepada RM471.98 juta daripada RM337.14 juta sebelum ini, dipacu oleh kemajuan yang lebih baik dalam aktiviti pembinaan dan sumbangan positif daripada projek pembangunan hartanah yang sedang dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tee Eng Tiong berpuas hati dengan prestasi kewangan syarikat dan menyifatkannya sebagai cerminan kepada komitmen yang sedang dilaksanakan untuk mencapai kejayaan dalam semua segmen perniagaan.
“Setakat ini, kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran kontrak baharu pada sepanjang tahun sebanyak RM1.6 bilion, dan telah mendapat lebih separuh daripadanya.
“Kami terus aktif menyertai proses tender untuk mendapat lebih banyak projek pembinaan bagi memperkukuh daya saing pasaran dan mempelbagaikan portfolio kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya selain itu cadangan pengambilalihan 49.0 peratus kepentingan ekuiti dalam Aspen Vision Land Sdn Bhd yang diumumkan sebelum ini bukan sahaja akan meletakkan syarikat sebagai kontraktor utama bagi kerja-kerja pembinaan, malah membolehkannya mendapat manfaat daripada potensi peningkatan pembangunan Aspen Vision City di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Beliau berkata syarikat yakin pelaburan berkenaan akan menambah baik dan melengkapkan pertumbuhan segmen pembangunan hartanah syarikat dengan ketara.
Sementara itu, pada sidang media susulan pengumuman prestasi kewangan berkenaan, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kerjaya Prospek Datuk Seri Tee Eng Ho mengulas kebimbangan mengenai tarif baharu Amerika Syarikat dan katanya pada masa ini syarikat sedang memantau rapat situasi berkenaan.
"Buat masa ini, kami tidak melihat impak yang ketara. Malah, beberapa bahan seperti keluli mungkin lebih mampu milik daripada sumber seperti Brazil.
“Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati. Sekiranya permintaan global meningkat dengan mendadak seperti yang lazimnya berlaku pada musim panas, rantaian bekalan boleh menjadi terhad dalam tempoh yang cepat.
“Banyak bahan yang kami peroleh daripada kilang di Korea Selatan. Oleh itu, sebarang gangguan di sana boleh menjejaskan struktur kos kami,” katanya.
Eng Ho berkata walaupun tiada perkara yang perlu dibimbangkan dalam masa terdekat, syarikat mengambil pendekatan proaktif untuk memantau pasaran terutama dalam menghadapi potensi turun naik harga input sekiranya landskap geopolitik atau perdagangan mengalami perubahan.
Kerjaya Prospek mengisytiharkan dividen peringkat tunggal interim pertama sebanyak 3.0 sen sesaham, berjumlah RM37.8 juta atau 82.0 peratus daripada keuntungan bersih syarikat, yang akan dibayar pada 30 Jun 2025.
-- BERNAMA