AM

KPM Akan Laksana Segera Inisiatif Baucar Buku Untuk PPP

01/06/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera memperincikan inisiatif pemberian baucar buku kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah kementerian itu dan melaksanakannya dalam tempoh terdekat. 

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 430,000 PPP di seluruh negara.

“KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman pemberian baucar buku kepada semua PPP di bawah KPM sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

“Pengumuman Perdana Menteri mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kepentingan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan pendidik,” menurut kenyataan itu. 

Perdana Menteri dalam ucapannya semasa majlis itu berkata inisiatif pemberian baucar buku yang diperluas kepada lebih 400,000 guru tahun ini sebagai langkah berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat terutama pelajar sekolah dan universiti.

Beliau berkata golongan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan ilmu selain berperanan memupuk minat pelajar terhadap amalan membaca. 

Menurut KPM, inisiatif itu juga bertepatan dengan usaha berterusan kementerian untuk mempertingkatkan amalan membaca di semua peringkat selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pendidik.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429770