KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- UMNO menghormati kebebasan setiap individu dalam membuat pilihan politik, kata Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata bagaimanapun, perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang adalah atas mandat parti yang diwakili dan bukan atas kapasiti peribadi.
“Walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mempengerusikan Majlis Perpaduan (Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan), setiap Menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.
“UMNO tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu turut menyeru semua ahli dan penyokong parti agar kekal fokus kepada pembangunan negara.
“Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata Biro Undang-Undang UMNO juga telah diminta meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang senator bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.
Pada Jumaat lepas, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO dan pada masa sama menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
-- BERNAMA